Pakistan serang Kabul, beberapa wilayah sempadan Afghanistan

Pakistan serang Kabul, beberapa wilayah sempadan Afghanistan

SEORANG anggota keselamatan Taliban duduk di atas sebuah Humvee berperisai ketika berkawal berhampiran lintasan sempadan Torkham antara Afghanistan dan Pakistan di wilayah Nangarhar semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Pihak berkuasa Afghanistan memaklumkan Pakistan melancarkan serangan baharu ke atas Kabul dan beberapa wilayah sempadan, mengorbankan empat nyawa di ibu negara itu.

Seorang pegawai keselamatan Pakistan yang tidak mahu namanya disiarkan, mengesahkan serangan berlaku pada malam Khamis, dengan menyasarkan kumpulan Taliban Pakistan, dikenali sebagai TTP.

Bulan lalu, Islamabad melancarkan gelombang serangan udara terhadap negara jiran itu, yang menurutnya bertujuan mengekang kegiatan kumpulan bersenjata susulan peningkatan serangan di Pakistan.

Bagaimanapun, kerajaan Taliban Afghanistan menafikan sebarang penglibatan atau penggunaan wilayah negara itu sebagai pangkalan kegiatan militan.

Jurucakap polis Kabul, Khalil Zadran berkata, empat orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam pengeboman yang mengenai beberapa rumah di ibu negara, dengan wanita serta kanak-kanak antara mangsa.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, menerusi platform X berkata, serangan Pakistan turut mengenai wilayah Kandahar di selatan, serta Paktia dan Paktika di timur bersempadan dengan Pakistan.

Di Kandahar, yang menjadi lokasi kediaman pemimpin tertinggi pentadbiran Taliban, Hibatullah Akhundzada, serangan udara dilaporkan mengenai depot bahan api milik syarikat penerbangan Kam Air berhampiran lapangan terbang.

Syarikat berkenaan membekalkan bahan api kepada pesawat penerbangan awam serta pesawat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pakistan menegaskan tiada orang awam terbunuh dalam konflik tersebut, namun dakwaan jumlah korban daripada kedua-dua pihak sukar disahkan secara bebas.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera Afghanistan dan Pakistan turut berbalas tembakan di kawasan sempadan, sekali gus menjejaskan aktiviti perdagangan serta memaksa penduduk berhampiran meninggalkan kediaman mereka.

Misi PBB di Afghanistan (UNAMA) memaklumkan 56 orang awam terbunuh di Afghanistan, termasuk 24 kanak-kanak, akibat operasi ketenteraan Pakistan antara 26 Februari hingga 5 Mac.

Menurut agensi pelarian PBB, kira-kira 115,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing.

Pertempuran antara kedua-dua negara semakin memuncak pada 26 Februari, apabila Afghanistan melancarkan serangan di sepanjang sempadan sebagai tindak balas terhadap serangan udara Pakistan sebelum ini yang menyasarkan kumpulan TTP.

Pakistan kemudian mengisytiharkan ‘perang terbuka’ terhadap pihak berkuasa Taliban, dengan mengebom ibu negara Afghanistan, Kabul, pada 27 Februari.

Sejak itu, pertempuran semakin meningkat di kawasan sempadan, termasuk insiden dari Rabu hingga Khamis yang menurut pihak berkuasa Afghanistan mengorbankan empat anggota sebuah keluarga di wilayah Khost.

Kerajaan Taliban pada Khamis turut memaklumkan empat anggota keluarga yang sama, termasuk dua kanak-kanak, terbunuh akibat tembakan artileri dan mortar Pakistan di timur Afghanistan.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN