Padang Terap catat suhu 37 hingga 40 darjah Celsius

Padang Terap catat suhu 37 hingga 40 darjah Celsius

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap dua (gelombang haba) di Padang Terap, Kedah.

Menurut MetMalaysia, suhu maksimum harian di kawasan tersebut dijangka mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Selain Padang Terap, terdapat beberapa kawasan lain di Semenanjung yang berada pada cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) melibatkan Perlis dan Kedah.

“Antara kawasan terlibat ialah Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah, selain Perlis, Pulau Langkawi serta Timur Laut, Pulau Pinang.

“Kebanyakan kawasan lain di Semenanjung berada pada paras normal dengan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celsius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, MetMalaysia berkata, satu kawasan di selatan Semenanjung iaitu Rembau, Negeri Sembilan turut mencatatkan cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga).

“Tahap satu (berjaga-jaga) merujuk kepada suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius, manakala tahap dua (gelombang haba) melibatkan suhu antara 37 hingga 40 darjah Celsius yang direkodkan sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

“Sehubungan itu, orang ramai disaran mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya serta mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas bagi mengurangkan risiko kesihatan seperti strok haba,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN