Lelaki bersenjata maut rempuh rumah ibadat Yahudi di Michigan

Lelaki bersenjata maut rempuh rumah ibadat Yahudi di Michigan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MICHIGAN: Seorang lelaki bersenjata yang bertindak merempuh sebuah rumah ibadat Yahudi menempatkan pusat prasekolah di Michigan dengan lori berisi bahan letupan dilaporkan maut, menurut pihak berkuasa.

Lori berkenaan dilaporkan terbakar sebaik sahaja suspek merempuh bangunan rumah ibadat Israel di Perbandaran West Bloomfield pada Khamis.

Syerif Daerah Oakland, Mike Bouchard mengesahkan seorang lelaki bersenjatakan raifal ditemukan maut di dalam kenderaan tersebut.

Sumber penguatkuasa memaklumkan mayat suspek berada dalam keadaan rentung, namun tiada butiran lanjut diberikan.

Syerif Bouchard sebelum ini mengesahkan pihak keselamatan rumah ibadat itu saling berbalas tembakan dengan suspek sejurus selepas kenderaan itu merempuh masuk ke dalam bangunan.

Pasukan penyelamat turut menemukan sejumlah besar bahan letupan di bahagian belakang lori tersebut.

Setakat ini, penyiasat masih berusaha mengenal pasti identiti penyerang serta motif di sebalik serangan nekad itu.

Difahamkan, tiada pelajar atau kakitangan yang tercedera dalam insiden tersebut. Ibu bapa dilaporkan bergegas masuk ke dalam bangunan untuk mendapatkan anak-anak mereka selepas dibenarkan oleh pihak polis.

Seorang pengawal keselamatan dikejarkan ke hospital selepas dilanggar oleh kenderaan suspek, namun mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Laporan awal di tempat kejadian menunjukkan kenderaan itu sengaja merempuh pusat pembelajaran awal kanak-kanak tersebut, dan pihak berkuasa kini menyiasat sama ada terdapat penyerang lain yang terlibat.

“Suspek memecah masuk bangunan, memandu di sepanjang lorong dan telah dihalang oleh pihak keselamatan,” ujar Bouchard mengenai serangan tersebut.

“Kami belum dapat mengesahkan punca kematiannya setakat ini, tetapi pihak keselamatan memang melepaskan tembakan ke arah suspek,” tambahnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN