Korporat syaitan cuba manipulasi keadaan - Ramanan

Korporat syaitan cuba manipulasi keadaan – Ramanan

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan menafikan beliau merupakan ahli Parlimen yang menerima serahan dana daripada ahli perniagaan, Victor Chin sebanyak RM9.5 juta.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, dakwaan tersebut tidak berasas kerana beliau langsung tidak mengenali Victor.

“Bagaimana saya boleh ambil duit dari dia kerana saya tidak pernah berjumpa dengan individu ini dan tidak kenal? Ini korporat syaitan yang cuba memanipulasi keadaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, Victor atau nama sebenarnya Chin Boon Loong dalam dokumen setebal 40 muka surat memperincikan kronologi seorang ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta untuk menyelesaikan isu mafia korporat, namun dia hanya mampu menyediakan RM9.5 juta pada peringkat awal.

Katanya, baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana isu itu tidak diselesaikan seperti dijanjikan.

Dakwaan mafia korporat berkisar mengenai pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatur kempen intimidasi, memberi tekanan kepada eksekutif dan pemegang saham syarikat awam yang tersenarai untuk meletak jawatan atau menjual saham mereka pada harga diskaun yang tinggi kepada rangkaian ahli perniagaan yang mempunyai hubungan.

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli turut menafikan dakwaan tersebut secara berseloroh bahawa beliau ‘menerima’ pertambahan lemak badan, gara-gara sambutan Hari Raya Aidilfitri, bukannya wang tunai seperti didakwa.

Ramanan turut mencabar Victor untuk menamakan ahli Parlimen tersebut secara jelas supaya tindakan boleh diambil.

“Kenyataan individu bernama Victor Chin telah mengeluarkan kenyataan beberapa watak ‘Mr. R’, jangan main teka teki. Sebut nama terus, baru boleh saman. Baru boleh bukti benar atau tidak, ini isu korporat mafia yang sedang hangat mainkan.

“Ini naratif kotor untuk tekan PKR, ahli Parlimen dan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×