PETALING JAYA: Beregu remaja negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai melakar kejutan ke atas gandingan No. 18 dunia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland di Basel, Switzerland, semalam.
Khai Xing-Aaron yang berada di kedudukan ke-27 dunia membenam beregu dari Indonesia itu 21-12, 21-23, 21-16 dalam masa 53 minit.
Kemenangan tersebut merupakan kejayaan pertama Khai Xing-Aaron ke atas Leo-Bagas kerana mereka belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini.
Pada suku akhir, esok, Khai Xing-Aaron yang berusia 19 tahun akan bertemu beregu No. 24 dunia, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dari Denmark.
Seperti mana Leo-Bagas, Khai Xing-Aaron juga belum pernah berjumpa Lundgaard-Vestergaard di pentas antarabangsa.
Bagaimanapun, nasib berbeza dialami satu lagi beregu lelaki Malaysia, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang tunduk kepada pasangan ke-90 dunia, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand 21-18, 19-21, 15-21 dalam masa 61 minit.
Kekalahan itu menyaksikan beregu No. 25 dunia itu kini diikat Peeratchai-Pakkapon dengan rekod pertemuan menjadi 2-2.
Turut ditimpa kekalahan, beregu campuran, Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang akur kepada Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia 8-21, 11-21 dalam masa 25 minit.
Kegagalan terbaru itu menyaksikan Jimmy-Pei Jing kini ditimpa dua kekalahan berturut-turut kepada Jafar-Felisha.
Dalam aksi perseorangan lelaki dan wanita pula, dua wakil negara, Justin Hoh serta Wong Ling Ching menerima nasib serupa selepas tewas kepada lawan masing-masing.
Justin yang menghuni ranking ke-38 dunia kalah kepada Tharun Mannepalli dari India 14-21, 20-22 dalam masa 43 minit, manakala, Ling Ching tewas kepada pilihan pertama, Putri Kusuma Wardani dari Indonesia 17-21, 15-21 dalam masa 42 minit. – UTUSAN










