TEHRAN: Bahang geopolitik yang kian memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) berpotensi menggegarkan pentas bola sepak dunia apabila Iran memberi bayangan tidak akan menyertai Piala Dunia 2026.
Kenyataan tegas itu hadir susulan dakwaan serangan udara terbaharu yang didakwa mengorbankan pemimpin tertinggi negara tersebut, Ayatollah Ali Khamenei, sekali gus menyemarakkan lagi konflik yang turut membabitkan Israel.
Presiden Persekutuan Bolasepak Iran, Mehdi Taj, mengakui situasi semasa amat membimbangkan dan boleh mempengaruhi keputusan penyertaan skuad kebangsaan ke kejohanan terbesar dunia itu.
“Dengan apa yang berlaku hari ini dan serangan oleh AS, adalah tidak mungkin kita boleh beraksi di Piala Dunia.Namun, keputusan muktamad terletak di tangan kepimpinan sukan negara,” katanya.
Krisis yang tercetus hanya beberapa bulan sebelum sepak mula kejohanan itu nyata meresahkan banyak pihak.
Iran sudah pun mengesahkan tempat ke edisi 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Malah, undian awal meletakkan Iran dalam kumpulan bersama New Zealand, Belgium dan Mesir, dengan beberapa aksi dijadual berlangsung di Los Angeles dan Seattle.
Senario lebih panas mungkin tercetus sekiranya Iran mara ke pusingan kalah mati dan berdepan tuan rumah, sekali gus menjadikan pertembungan itu bukan sekadar aksi bola sepak, tetapi sarat dimensi politik. – AGENSI











