Albert Tei dihalang masuk SPRM

Albert Tei dihalang masuk SPRM

ALBERT Tei bersama Peguamnya, Mahajoth Singh di perkarangan Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa beliau dihalang memasuki Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama dua peguamnya ketika hadir untuk menyerahkan laporan rasmi berhubung dakwaannya terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut Albert, pegawai bertugas hanya membenarkan seorang peguam menemaninya, walaupun beliau telah menjelaskan keperluan untuk membawa seorang peguam wanita sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya pegawai penyiasat yang mengendalikan laporannya adalah wanita.

“Saya bukan suspek, saya adalah pengadu. Saya hanya mahu masuk ke lobi untuk membuat laporan rasmi.

“Saya minta dua peguam menemani saya kerana jika pegawai penyiasat itu wanita, saya perlukan seorang peguam wanita di sebelah saya. Itu perkara asas, tetapi mereka tetap menghalang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Albert mendakwa tindakan tersebut tidak pernah berlaku sebelum ini meskipun beliau sudah beberapa kali berurusan di ibu pejabat SPRM.

Katanya, pegawai berkenaan berulang kali memaklumkan bahawa sekatan itu dibuat atas arahan pihak atasan, namun gagal menunjukkan sebarang arahan bertulis apabila diminta.

“Saya tanya siapa yang beri arahan, tetapi mereka enggan beritahu nama. Saya minta tunjuk hitam putih, surat atau dokumen rasmi, tetapi semuanya tiada.

“Hanya cakap berdasarkan mulut bahawa ini arahan daripada pihak atasan. Niat itu sangat jelas,” katanya.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai bukti wujudnya layanan berbeza dalam sistem penguatkuasaan negara.

“Berapa kali SPRM menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat rasuah tampil membuat laporan, tetapi hari ini apabila saya datang untuk mengemukakan aduan, saya pula dihalang daripada masuk.

“Ini sangat memalukan dan menunjukkan kerosakan dalam sistem penguatkuasaan kita,” katanya.

Terdahulu, Albert hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi menyerahkan dokumen dan bukti berkaitan dakwaannya bahawa Azam pernah mengugut dan menghalangnya daripada mendedahkan skandal rasuah melibatkan beberapa ahli politik berprofil tinggi di Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN