Polis rampas e-waste bernilai hampir RM50 juta di Seremban

Polis rampas e-waste bernilai hampir RM50 juta di Seremban

ALZAFNY Ahmad (tengah) dan Pengarah JAS Negeri Sembilan, Abdul Aziz Parmin (dua dari kanan) menunjukkan barang rampasan e-waste bernilai RM47 juta semasa sidang akhbar Op Bersepadu E-waste di IPK Negeri Sembilan di Seremban hari ini. UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis merampas sisa elektronik (e-waste) bernilai RM47 juta dalam dua serbuan berasingan di di tiga buah premis di Nilai dan Kuala Sawah di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, hasil serbuan di Kawasan Perindustrian Nilai pada 15 April lalu, dua lelaki tempatan berumur 43 dan 37 tahun dipercayai penjaga premis telah ditahan.

“Bagaimanapun, ketika serbuan kedua dijalankan di dua buah kilang di Kuala Sawah pada 6 Mei lalu, kesemua individu di dalam premis berkenaan melarikan diri. Polis kini sedang mengesan pemilik sebenar kedua-dua kilang tersebut.

“Bagaimanapun, hasil kedua-dua operasi tersebut, JAS telah menyita barangan disyaki e-waste serta 39 buah mesin dengan anggaran nilai melebihi RM47.637 juta,” katanya semasa sidang akhbar Op Bersepadu E-waste di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Tambahnya, serbuan juga mendapati ketiga-ketiga premis berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Pindaan) 2024.

“Jabatan Alam Sekitar telah mengeluarkan saman di bawah Seksyen 34A kerana gagal mengemukakan laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA), Seksyen 34B kerana melakukan pelupusan haram buangan terjadual dan Seksyen 18(1) kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen Ketua Pengarah.

“Jika disabitkan kesalahan bagi ketiga-tiga kesalahan tersebut, premis boleh dikenakan denda keseluruhan tidak melebihi RM11.25 juta,” katanya.

Beliau berkata, JAS juga telah mengarahkan kesemua premis berkenaan agar menghentikan operasi serta-merta selain melarang premis memindahkan sebarang peralatan dan barangan sehingga siasatan selesai.

Pihak Majlis Bandaraya Seremban juga telah mengeluarkan saman terhadap premis berkaitan kesalahan kacau ganggu selain menyita dan mengarahkan tiga premis menghentikan operasi serta-merta kerana beroperasi tanpa lesen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN