GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengesahkan bahawa individu yang tular ketika sedang mengisi petrol RON95 ke dalam tong plastik di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas baru-baru ini memiliki permit yang sah untuk berbuat demikian.
Pengarahnya, S.Jegan berkata, pihaknya terpaksa menyiasat kes itu selepas rakaman video mengenai kejadian tersebut tersebar di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.
“Hasil semakan mendapati, lelaki berkenaan adalah seorang nelayan dan dia mempunyai permit sah bagi pembelian bahan api mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta tertakluk kepada had kuota ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, tular beberapa keping gambar dan rakaman video mengenai seorang individu yang sedang mengisi petrol ke dalam beberapa tong plastik di sebuah stesen minyak di Jalan Tengah, Bayan Lepas.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada 19 Mac lalu berdasarkan tarikh rakaman yang dibuat pada kamera papan pemuka kenderaan yang dikongsikan di media sosial.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, tindakan individu terbabit adalah mematuhi peraturan dan tidak melibatkan sebarang kesalahan.
Katanya, pembelian bahan api melebihi 20 liter ke dalam bekas selain tangki kenderaan memerlukan permit khas barang kawalan berjadual daripada KPDN dan permit ini diberi bagi kegunaan tertentu seperti operasi jentera pertanian dan perikanan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
“Pihak KPDN akan sentiasa menjalankan pemantauan berterusan di semua stesen minyak bagi memastikan pematuhan undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menjual atau membeli bahan api melebihi had tanpa permit sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pada masa yang sama, orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat. Sebarang aduan boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp KPDN di nombor 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi ezAdu KPDN,” katanya. – UTUSAN











