Subsidi mesti ikut kemampuan fiskal, bukan emosi

Subsidi mesti ikut kemampuan fiskal, bukan emosi

CHONG ZHEMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiap pemberian subsidi mesti berasaskan kemampuan fiskal sebenar dan kemampanan jangka panjang, bukannya dipandu retorik emosi semata mata.

Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, perbandingan penggunaan petrol antara tahun 2008 atau 2011 tidak tepat kerana mengabaikan perubahan besar dalam struktur ekonomi dan tahap penggunaan bahan api negara.

“Penggunaan harian petrol dan diesel dianggarkan sekitar 1.2 juta hingga 1.4 juta tong sehari, manakala hari ini telah meningkat kepada sekitar 1.8 juta hingga 2.0 juta tong sehari, iaitu peningkatan lebih 30 peratus .

“Dengan tahap penggunaan yang jauh lebih tinggi hari ini, mengekalkan model subsidi pukal yang menyeluruh seperti dahulu akan menyebabkan beban fiskal jauh lebih besar berbanding masa lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini .

Zhemin sebelum ini berkata, cadangan bagi memperluaskan subsidi bahan api dengan menggunakan keuntungan syarikat minyak Petronas hanya akan membebankan kewangan negara.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi Norway dengan hasil minyak disimpan dan dilaburkan di peringkat global, sekali gus membolehkan pengumpulan kekayaan jangka panjang dan kestabilan fiskal.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda UMNO Datuk Muhamad Akmal Saleh mengkritik dan menyatakan pendirian bahawa adalah tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat dengan cara menampung subsidi selain untuk mengelakkan kenaikan kos sara hidup yang mendadak.

Dalam pada itu, Zhemin berkata, kerajaan tidak perlu menafikan keperluan bagi membantu rakyat namun ia perlu dibuat secara tepat.

Malah katanya, pada masa ini subsidi bahan api telah meningkat daripada sekitar RM700 juta sebulan kepada RM3.2 bilion sebulan, bersamaan kira kira RM38 bilion setahun.

“Sekiranya harga minyak global meningkat kepada USD120 (RM474) atau USD150 (RM893) setong, jumlah ini boleh melonjak kepada antara RM50 bilion hingga RM80 bilion setahun. Tanpa reformasi dan penambahbaikan, beban ini akhirnya akan ditanggung oleh rakyat sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×