Rakyat Malaysia ke Thailand jual RON95

Rakyat Malaysia ke Thailand jual RON95

HARGA terkini jualan bahan bakar di Thailand. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia yang melancong di negara ini didakwa menjual bahan bakar itu kepada penduduk khususnya individu yang mereka kenali.

Perkara itu diakui pengusaha van pelancongan di sini yang mahu dikenali sebagai Nik Rosil mendakwa ia hanya melibatkan petrol RON95 sahaja.

Nik Rosil berkata, rakyat Malaysia itu akan membuat isian penuh di Rantau Panjang sebelum masuk ke Thailand.

“Kalau mereka beli RON95 dengan harga subsidi iaitu RM1.99 (16.46 baht) dan jual RM2.50 (20.68 baht) dan jual di Sungai Golok, mereka sudah untung.

“Hal ini kerana harga Gasohol 95 di Thailand dijual antara 35.05 baht (RM4.24) dan 35.90 baht (RM4.34) seliter,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nik Rosil memberitahu, sebaik sahaja masuk ke negara ini individu terbabit akan menghubungi kenalan mereka di selatan Thailand yang memerlukan dan kemudian menjual bahan bakar itu.

Sementara itu, penduduk di kawasan sempadan dengan Malaysia turut mengakui mereka bergantung kepada petrol dan diesel seludup daripada Malaysia selepas krisis bekalan bahan bakar melanda negara itu dengan stesen minyak mula mengehadkan jualan.

Akibatnya, bahan bakar seludup yang dibawa masuk melalui Sungai Golok menjadi pilihan utama meskipun harganya tetap tinggi.

Seorang penduduk Tak Bai, Che Roni Che Dollah, 30, mengakui krisis bekalan yang melanda kawasan ini memberi impak kepada mereka sehingga mencetuskan rasa panik.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana dia perlu berulang-alik ke tempat kerja yang agak jauh, sekali gus menyebabkan penggunaan bahan bakar yang tinggi.

“Mujur kami di sempadan ini ada sumber minyak lain iaitu petrol dan diesel seludup dari Malaysia. Bagaimanapun, bahan bakar itu mengalami kenaikan harga yang ketara sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Seorang peniaga minyak seludup dikenali sebagai Ramlah, 55, di Tak Bai memberitahu, pembelian petrol dan diesel seludup boleh dibuat tanpa had selagi stok masih ada.

Katanya, bagaimanapun harga kedua-dua bahan bakar itu melonjak naik selepas bekalan terputus sejak beberapa hari lalu ekoran penguatkuasaan ketat di Malaysia.

“Sebelum ini petrol seludup dijual pada harga 30 baht (RM3.64), tetapi kini terpaksa dinaikkan kepada 35 baht (RM4.25) dan ia jauh lebih mahal berbanding petrol di Thailand,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan di Yala dan Narathiwat mendapati jumlah penjual petrol dan diesel di tepi jalan juga berkurangan dengan ketara berikutan kekurangan bekalan selain harga daripada sindiket yang terlalu tinggi.

Sebagai contoh, laluan dari Pekan Bacho ke bandar Narathiwat sejauh 60.9 kilometer kini hanya mempunyai lima gerai tepi jalan yang masih menjual minyak seludup dari Malaysia berbanding lebih 20 gerai sebelum ini.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Deen berkata, bekalan bahan bakar seludup dari Malaysia kini sukar diperoleh berikutan penguatkuasaan tegas pihak berkuasa negara itu.

Katanya, jika ada bekalan sekali pun, sindiket menjualnya pada harga yang lebih tinggi.

“Saya terpaksa beli juga walaupun mahal. Hari ini saya masih menjual petrol stok lama dalam tong 10 liter pada harga 30 baht seliter (RM3.64).

“Bagaimanapun, kuantitinya tidak penuh satu tong. Manakala petrol dalam botol pula dijual pada harga 35 baht (RM4.25) sebotol. Harga stok baharu meningkat kepada 35 baht seliter, tetapi tidak penuh satu tong, manakala dalam botol pula 37 baht (RM4.49),” ujarnya yang berniaga di Jalan Bacho, Narathiwat.

Seorang individu yang mahu dikenali sebagai Sugree mendakwa antara punca kenaikan harga minyak seludup adalah disebabkan penguatkuasaan tegas Malaysia selain pengukuhan nilai ringgit.

“Pihak berkuasa Malaysia telah memperketat kawalan di sepanjang sempadan. Keadaan ini sekali gus menyukarkan penyeludupan bahan api, namun masih ada yang terlepas dan dibawa masuk ke selatan Thailand.

“Walaupun harga runcit di tepi jalan jauh lebih tinggi, orang ramai tetap membelinya kerana ketika ini semua stesen minyak di selatan Thailand menghadapi kekurangan bekalan. Bukan kami mahu mengambil kesempatan, tetapi kami membeli pada harga mahal,” katanya.

Bagaimanapun, Sugree menjelaskan adalah mustahil bahan api seludup dari Malaysia ketika ini dapat menyelesaikan sepenuhnya kesulitan yang dihadapi penduduk di selatan Thailand.

Katanya, selepas mengambil kira bayaran kepada pihak tertentu di sepanjang laluan penyeludupan, kos bahan bakar itu meningkat kepada 35 baht seliter.

“Dengan margin keuntungan yang perlu ditambah, harga jualan mungkin mencecah antara 38 hingga 39 baht seliter (RM4.62 hingga RM4.74),” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN