PETALING JAYA: Sambutan Hari Wanita hari ini dimeriahkan dengan ucapan penghargaan barisan Jemaah Menteri di atas peranan dan pengorbanan dalam mencorak masa depan keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 akan diadakan pada 10 Mac ini di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Majlis yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah simbol komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa wanita serta memastikan suara mereka terus dihargai.
Beliau berkata, tema sambutan tahun ini ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’ membawa mesej jelas apabila wanita diberi ruang, peluang dan penghargaan sewajarnya, maka seluruh negara akan turut menjadi lebih kuat dan sejahtera.
“Selamat Hari Wanita Antarabangsa,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menzahirkan ucapan dengan menyifatkan kasih sayang wanita sebagai anugerah terindah, serta tidak ketinggalan penghargaan khas buat ibu serta isteri tercinta.
“Terima kasih atas kekuatan, kasih sayang dan inspirasi yang anda berikan kepada dunia,” katanya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R, Ramanan pula berkata, wanita hari ini bukan sahaja menyumbang sebagai tenaga kerja yang signifikan kepada negara, malah turut memimpin organisasi, memacu inovasi serta memainkan peranan penting dan amat bermakna dalam pertumbuhan ekonomi.
“Melalui pelbagai inisiatif pembangunan kemahiran, perlindungan sosial, peluang pekerjaan yang lebih adil serta persekitaran kerja yang selamat dan inklusif, saya komited untuk memastikan lebih banyak wanita diberi peluang menyertai serta berkembang dalam pasaran buruh negara.
“Saya yakin apabila wanita diberi peluang yang saksama untuk maju bersama, bukan sahaja keluarga dan komuniti akan mendapat manfaat, malah negara juga akan menjadi lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penglibatan aktif wanita dalam pelbagai sektor adalah asas kepada pembinaan sebuah negara yang lebih teguh bagi generasi akan datang.
“Marilah kita terus memberi ruang dan sokongan selayaknya kepada wanita untuk terus bersinar dan memimpin. Apabila kita memartabatkan wanita, kita sebenarnya sedang membina sebuah negara yang lebih teguh, adil dan sejahtera bagi generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dalam sektor pelancongan dan budaya, ramai wanita memainkan peranan penting dalam memelihara budaya tempatan dan warisan masyarakat dengan penuh semangat dan profesionalisme.
“Usaha mereka bukan sahaja menyokong pembangunan masyarakat dan ekonomi tetapi juga membantu mempamerkan keindahan dan kemesraan budaya Malaysia yang pelbagai kepada dunia,” katanya. – UTUSAN









