Peranan wanita penting bagi capai keamanan dunia - Nurul Izzah

Peranan wanita penting bagi capai keamanan dunia – Nurul Izzah

Nurul Izzah
NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Agenda Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) 2025-2030 perlu diperkukuh melalui akar umbi bagi menjamin keamanan dunia bermula dari rumah sehingga ke peringkat negara dan hubungan antarabangsa.

Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar berkata, rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa perlu sentiasa peka terhadap perkembangan global khususnya konflik yang melibatkan wanita.

“Kita juga perlu mengingatkan diri tentang situasi di Gaza, di mana wanita Malaysia turut mewakili negara dalam misi seperti Global Sumud Flotilla (GSF).

“Konflik ini memberi impak besar terhadap wanita, dan suara mereka penting dalam mencari penyelesaian,” katanya ketika sidang akhbar selepas Persidangan Kepimpinan Wanita Asia Tenggara bertemakan Wanita, Keamanan dan Keselamatan di bangunan Parlimen hari ini.

Nurul Izzah berkata, Malaysia merupakan negara pertama yang mendapat perhatian global dalam misi GSF dengan sokongan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, kapal ketenteraan dari Sepanyol, Turkiye dan Itali juga telah digerakkan bagi membantu memastikan misi kemanusiaan itu berjaya tiba di Gaza.

Bagaimanapun katanya, semua pihak semua perlu berwaspada terhadap tindakan zalim tentera Israel yang didalangi kuasa-kuasa besar.

“Di Asia Tenggara, kita perlu memperkukuh kesedaran dan solidariti antara negara. Walaupun rantau kita masih selamat, kita tidak boleh leka kerana negara yang mengabaikan undang-undang antarabangsa boleh menjadi ancaman global.

“Rakyat Malaysia digalakkan mengikuti perkembangan global secara serius. Walaupun kini GSF berada di zon kuning dan sukar mendapat maklumat terkini, Wisma Putra sedang berusaha mendapatkan maklumat secara prihatin,” katanya.

Mengulas gencatan senjata yang berjaya dicapai di Thailand dan Kemboja, Nurul Izzah berkata, impak konflik terhadap wanita dan kelangsungan pendidikan anak-anak juga perlu diberi perhatian, manakala aspek pasca-konflik seperti di Mindanao, Filipina khususnya dalam konteks Bangsa Moro adalah kritikal.

“Malaysia walaupun tidak menghadapi konflik aktif perlu sentiasa memainkan peranan sebagai pengaman atau perunding dalam sebarang perjanjian.

Beliau merujuk ucapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai genosid di Kemboja yang memperlihatkan penghapusan satu generasi dan menyamakan situasi serupa berlaku di Gaza.

Menurut beliau, Asia Tenggara perlu memastikan agenda WPS berakar kukuh, menumpukan kepada faktor utama yang menyokong keamanan dari rumah sehingga ke peringkat antarabangsa.

Agenda WPS pada awalnya berada di bawah Pelan Tindakan Nasional, dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini.

Pelan itu bertujuan memperkukuh kepimpinan serta penyertaan wanita dalam pembuatan dasar dan pembinaan keamanan, memberikan perlindungan kepada wanita dan kanak-kanak dalam situasi berisiko serta memperluas program advokasi dan pendidikan mengenai WPS di semua peringkat masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN