PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli berjaya menokok tiga mata selepas menamatkan aksinya di kedudukan ke-13 pada Grand Prix Motosikal Amerika Syarikat (AS) di Litar COTA, Austin, Texas, AS, awal pagi tadi.
Anak muda berusia 18 tahun yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 31 minit 39.002 saat (s) untuk menamatkan saingan dalam kelompok bermata.
Walaupun terpaksa bermula dari grid tercorot iaitu di petak ke-25 gara-gara kemalangan pada sesi kelayakan, Hakim Danish membuktikan dia mampu bersaing dengan pelumba di kelompok hadapan.
Pencapaian yang dilakar Hakim Danish di litar paling mencabar dalam kalendar MotoGP itu membolehkannya mengumpul sembilan mata untuk berada di kedudukan ke-14 keseluruhan.
Ini merupakan kejayaan kedua Hakim Danish meraih mata pada perlumbaan kelas Moto3 yang merupakan penampilan sulung pelumba berasal dari Terengganu itu dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sebagai pesaing tetap.
Minggu lalu, pada perlumbaan pusingan kedua di GP Brazil, Hakim Danish berjaya melengkapkan aksinya di kedudukan ke-10 untuk mengutip enam mata.
Pelumba Itali, Guido Pini yang mewakili pasukan Leopard Racing mengungguli saingan apabila mencipta masa terpantas 31:20.489s.
Maximo Quiles dari Sepanyol yang bernaung di bawah pasukan CFMoto Valresa Aspar Team pula muncul selaku naib juara (31:20.545s), manakala, rakan senegaranya, Alvaro Carpe dari pasukan Red Bull KTM Ajo di kedudukan ketiga (31:20.743s). – UTUSAN










