KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa erlu mengambil tindakan segera bagi mengekang cubaan menggulingkan kerajaan dengan menggunakan pengaruh asing termasuk media antarabangsa supaya tidak terus merebak.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun ia kini masih dalam siasatan namun jika perkembangan itu tidak ditangani segera ia boleh menggugat kestabilan politik tanah air.
“Perkara ini sedang dalam siasatan, jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa melakukan siasatan itu.
“Bagi saya, perkara ini perlu diambil tindakan segera bagi mengelak ia merebak seperti api dalam sekam, tidak seharusnya kestabilan politik tergugat disebabkan seseorang yang menggunakan media dan pihak luar untuk rosakkan negara kita,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sesi Pertemuan Khas Bersama Pengurusan Tertinggi Felda di Menara Felda, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan cubaan menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk membabitkan kelompok Zionis terkemuka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, siasatan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada.
Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail turut memaklumkan pihaknya sudah merekodkan kenyataan seorang individu berhubung dakwaan komplot menjatuhkan kerajaan serta melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.
Beliau berkata, individu berkenaan tampil memberi keterangan secara sukarela kepada polis pada 26 Februari lalu, iaitu pada hari laporan polis berhubung perkara itu dibuat. – UTUSAN










