Golongan berpengaruh jangan campur urusan PDRM

Golongan berpengaruh jangan campur urusan PDRM

ANWAR Ibrahim berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi amaran kepada golongan berpengaruh supaya tidak mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengambil tindakan undang-undang membabitkan kes berprofil tinggi dan jenayah berskala besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang campur tangan hanya akan menjejaskan siasatan, sekali gus menyulitkan kerja pihak berkuasa.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau turut mengakui terdapat kecenderungan golongan tertentu melindungi individu atau kumpulan berpengaruh daripada disiasat pihak berkuasa.

“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan PDRM dan agensi penguatkuasaan. Kadang-kadang (pihak) yang melindungi itu orang berpengaruh dan ini menyukarkan kerja PDRM.

“Saya beri arahan sangat jelas. Jika benar mahu bertindak, kita juga perlu beri nasihat kepada semua yang lain supaya jangan sesekali menghalang (tugas pihak berkuasa),” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di sini, hari ini.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan bertanggungjawab memberikan segala sokongan dan dorongan supaya badan penguatkuasaan termasuk PDRM berupaya bertindak dengan berani dan tidak separuh jalan.

Bahkan, katanya, Jemaah Menteri juga turut membincangkan perkara itu dan bersetuju memberi laluan kepada pasukan penguatkuasaan melaksanakan tugas masing-masing.

“Ini tanggungjawab kami dalam kerajaan dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan dalam Jemaah Menteri. Kita bincang, tugas kita bukan campur aduk dalam tindakan yang diambil tetapi memberi laluan besar (kepada penguatkuasa).

“Percayalah negara ini akan aman (dan) gagah kalau kita memberikan mesej yang jelas (iaitu) tindakan harus tegas tidak kira dari kelompok mana dan jangan ada campur tangan menghalang tindakan oleh PDRM dan badan-badan penguatkuasaan,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga menghargai keberanian PDRM selepas dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket dan golongan perasuah yang sebelum ini seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.

“Syukur kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian untuk bertindak, bukan saja kepada perasuah kecil, tetapi perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun tetapi tidak pernah berani disentuh.

“Sindiket besar ini sudah lama terpendam dalam sistem kita dan saya ucap tahniah kerana (PDRM) berjaya mematahkannya hasil profesionalisme, tekad dan keberanian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN