COPENHAGEN: Harapan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, untuk meraih penggal ketiga menjadi semakin rumit pada Selasa apabila blok berhaluan kiri memenangi pilihan raya, namun gagal memperoleh majoriti.
Blok itu, yang merangkumi Parti Demokrat Sosial, Venstre berhaluan tengah kanan serta parti Moderat pimpinan Menteri Luar, Lars Løkke Rasmussen, memenangi 84 kerusi dalam Parlimen Denmark yang mempunyai 179 kerusi.
Pihak kanan pula memperoleh 77 kerusi, menurut keputusan rasmi.
Parti pimpinan Rasmussen muncul sebagai penentu dengan 14 kerusi, sekali gus membuka ruang kepada rundingan sukar ketika pihak yang menang berusaha membentuk kerajaan gabungan.
“Kita tidak boleh berpecah. Kita tidak boleh menjadi merah (haluan kiri). Kita tidak boleh menjadi biru (haluan kanan). Kita mesti bekerjasama,” kata Rasmussen kepada penyokongnya yang bersorak.
Selepas mengetuai negara dalam berdepan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang mahu mengambil alih Greenland, Frederiksen memanggil pilihan raya lebih awal beberapa bulan sebelum tarikh akhir pada Oktober.
Parti Demokrat Sosialnya diperkukuh apabila Frederiksen menolak ancaman Trump untuk menguasai Greenland, sebuah pulau di Laut Artik yang merupakan wilayah separa autonomi di bawah kawalan Denmark.
Namun, undian pada Selasa mencatat keputusan terburuk bagi Parti Demokrat Sosial sejak awal abad lalu, merosot kepada 21.9 peratus. Penurunan itu amat ketara berbanding 27.5 peratus yang mereka peroleh dalam pilihan raya 2022.
“Saya bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri Denmark sekali lagi untuk empat tahun akan datang,” kata Frederiksen kepada penyokong yang bersorak selepas pengundian.
Tinjauan pada Selasa menunjukkan landskap politik di Denmark lebih kompleks daripada yang disangka.
Isu pengundian nampaknya beralih kepada isu domestik, dengan kebimbangan seperti cadangan cukai kekayaan dan perdebatan mengenai imigresen kembali menjadi perhatian utama.
Frederiksen berkempen dengan janji kepimpinan tegas dan berpengalamannya akan membantu negara yang mempunyai enam juta rakyat itu menavigasi hubungan kompleks dengan AS serta tindak balas Eropah terhadap perang Russia di Ukraine.- AGENSI











