PETALING JAYA: Subsidi sedia ada yang diberikan kepada pesawah ketika ini dilihat tidak lagi relevan dengan peningkatan kos operasi semasa susulan kenaikan harga bahan api serta kos pengurusan lain.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pesawah padi menjadi kelompok paling terkesan ketika ini selepas kerajaan menaikkan harga diesel kepada RM4.72 seliter yang merupakan tertinggi dalam sejarah Malaysia.
Beliau berkata, pesawah kini berada dalam fasa kritikal apabila sebahagian daripada mereka sedang melalui musim menuai, manakala sebahagian lain pula sedang membuat persiapan bagi menghadapi musim penanaman baharu.
“Dalam waktu yang sama negara berdepan musim kemarau. Banyak kawasan sawah menyaksikan padi menjadi hampa. Sudahlah hasil terjejas, pesawah terpaksa pula mengeluarkan kos tambahan disebabkan kenaikan harga diesel hingga ada yang menanggung kerugian.
“Lebih mendesak, jentera penuai dan pembajak hingga kini tidak termasuk dalam skop bantuan BUDI-Agri Madani, manakala subsidi RM160 sehektar bagi kerja membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian, jelas tidak lagi mencerminkan realiti kos semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah turut mempersoalkan Insentif Tunai RM600 kepada pesawah yang dilaporkan tidak diberikan kepada pesawah.
“Persoalan juga timbul berhubung Insentif Tunai RM600 kepada pesawah. Apakah benar pesawah tidak menerima bantuan ini sejak dua musim berturut-turut?.
“Pembangkang bimbang jika kerajaan tidak menangani isu ini dengan segera, krisis harga minyak akan menjadi krisis keselamatan bekalan makanan. Kita harap kerajaan akan mengambil langkah intervensi dengan segera,” katanya.
Oleh itu, Hamzah menggesa, Pelan Kontinjensi Nasional harus dibuat segera dengan mengambil kira keadaan konflik di rantau Teluk.
“Ianya harus jelas dan menyeluruh supaya semua pihak sama ada kerajaan mahu pun rakyat bersedia menghadapi segala kemungkinan di masa hadapan.
“Jangan sesekali bersikap defensif terhadap teguran atau cadangan yang diberikan. Negara perlukan kepimpinan yang mendengar denyut nadi rakyat, yang memahami realiti sebenar di bawah sana dan sentiasa jujur dalam setiap tindakan,” katanya. – UTUSAN










