WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbang kemungkinan operasi darat untuk ‘merampas’ hab eksport minyak utama Iran, Pulau Kharg, lapor media Israel semalam.
Menurut The Jerusalem Post yang memetik dua sumber rapat dengan perkara itu, pegawai kanan AS baru-baru ini memaklumkan Washington mungkin tiada pilihan selain melancarkan operasi darat untuk menguasai pulau tersebut.
Seorang pegawai AS turut memberitahu akhbar itu tentera AS mempercepat penempatan ribuan anggota marin dan tentera laut ke Asia Barat sebagai persiapan untuk kemungkinan operasi itu.
Laporan tersebut menyatakan pasukan tambahan termasuk USS Boxer Amphibious Ready Group bersama kapal pengangkut amfibia USS Portland dan USS Comstock.
Pulau Kharg, yang terletak di Teluk Parsi, adalah tulang belakang ekonomi Iran dan hab eksport minyak utama negara itu, memproses kira-kira 90 peratus penghantaran minyak mentah, yang sering dihantar ke China.
Laporan itu menambah perbincangan baru-baru ini diadakan dalam pentadbiran AS mengenai kemungkinan mengambil alih pulau itu bagi memberi tekanan kepada Iran supaya menghentikan gangguan terhadap laluan maritim melalui Selat Hormuz.
Sejak awal Mac, Iran secara berkesan menutup Selat Hormuz kepada kebanyakan kapal.
Laluan transit minyak utama itu biasanya mengendalikan kira-kira 20 juta tong minyak sehari dan sekitar 20 peratus perdagangan gas asli cecair global.
Penutupan laluan itu telah menaikkan kos penghantaran dan insurans, mendorong harga minyak lebih tinggi, serta menimbulkan kebimbangan ekonomi global.
Pada Sabtu, Presiden Donald Trump mengancam untuk ‘memusnahkan’ loji janakuasa Iran, bermula dengan yang terbesar, jika Teheran tidak membuka laluan strategik itu dalam masa 48 jam.
Kejadian permusuhan di rantau itu meningkat sejak serangan AS dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Februari.
Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.











