Zi Yu intai slot Piala Uber

Zi Yu intai slot Piala Uber

Low Zi Yu (kanan) bersama Noraqilah Maisarah Ramdan. - Ihsan Facebook BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain muda berbakat besar, Low Zi Yu mengintai kekosongan tempat ke Piala Uber untuk slot beregu wanita kedua atau ketiga yang masih belum dimuktamadkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Seandainya terpilih, Zi Yu yang berpasangan dengan Noraqilah Maisarah Ramdan, 18, bakal menjadi pemain termuda dalam skuad Piala Uber pada usia yang baru mencecah 15 tahun 6 bulan.

Sebelum ini, dua wakil perseorangan negara, Goh Jin Wei (edisi 2016) dan Siti Nur Shuhaini Azman (edisi 2020) pernah muncul pemain termuda sewaktu masing-masing berusia 16 serta 17 tahun.

Zi Yu yang merupakan pemenang pingat perak termuda dalam Kejohanan Remaja Dunia 2024 ketika usianya 14 tahun berkata, dia sememangnya menantikan peluang untuk melihat namanya disenaraikan ke dalam skuad Piala Uber di Hosens, Denmark, April ini.

“Kalau beri peluang, mestilah saya hendak, siapa tak nak. Saya tak takut, kalau jurulatih bagi peluang, saya sedia berjuang untuk rebut tempat.

“Tak boleh rasa takut, sebab ini acara berpasukan dan bukan individu. Saya kena yakin,” kata pemenang pingat perak sebanyak dua kali pada Kejohanan Remaja Dunia 2024 dan 2025 bersama Dania Sofea Zaidi serta Noraqilah.

Anak jati Johor yang baru sahaja menyertai BAM secara tetap, bulan lalu, dijangka mengisi slot beregu ketiga di belakang jaguh No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah dan gandingan kedua hampir pasti menjadi milik satu lagi pasangan muda, Ong Xin Yee-Carmen Ting (No. 25 dunia).

Pemain senior, Teoh Mei Xing pula yang berada di ranking ke-26 dunia berdepan dengan kemelut pasangannya, Go Pei Kee yang menghantar surat permohonan meninggalkan BAM, minggu lalu.

Justeru, peluang tersebut terbuka kepada beregu remaja, Zi Yu-Noraqilah yang beraksi cemerlang menumbangkan beregu China, Lui Yi-Wang Ting Ge 13-21, 21-18, 21-17 pada Kejohanan Berpasukan Asia (BATC) di Qingdao, China, awal bulan ini.

Mengulas mengenai persembahannya itu, Zi Yu berkata, selepas tampil pada BATC yang merupakan kejohanan peringkat senior, kemahiran mengawal tekanan semakin baik dan banyak mematangkan permainannya.

“Lawan dengan pasukan China, kita tak boleh takut, kena berani. Sejak di BATC, saya rasa sudah boleh kawal tekanan lebih baik,” katanya yang kini bertukar sekolah dari Johor ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas dekat ibu negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN