Tiada aksi pemanas badan buat Tang Jie-Ee Wei, Pang Ron-Su Yin

Tiada aksi pemanas badan buat Tang Jie-Ee Wei, Pang Ron-Su Yin

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menutup mulut pengkritik selepas menjuarai acara beregu campuran Kejohanan Indonesia Masters di Istora Senayan, Jakarta, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua beregu campuran negara membuat keputusan berani apabila memilih untuk melangkaui aksi pemanas badan di Terbuka Jerman demi memberi tumpuan penuh kepada misi besar memburu impak di All England, yang berlangsung pada 3 hingga 8 Mac ini.

 

Pasangan juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mengambil pendekatan berbeza dengan tidak menyertai kejohanan bertaraf Super 300 pada 24 Februari hingga 1 Mac itu bagi memastikan tahap kesegaran fizikal dan mental berada di tahap optimum menjelang saingan Super 1000 di Birmingham.

 

Langkah taktikal itu disahkan ketua jurulatih beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto yang melihat jadual padat antara dua kejohanan berkenaan berpotensi mengundang risiko keletihan selain meningkatkan kebarangkalian kecederaan kecil berulang dalam kem negara.

 

“Kami sudah berbincang dengan pemain dan membuat keputusan untuk terus fokus kepada All England tanpa bermain di Jerman.

 

“Jika kami mara sehingga ke final di Jerman, kami mungkin hanya tiba di Birmingham lewat Ahad atau pagi Isnin, jadi lebih baik kami beri tumpuan sepenuhnya kepada All England,” kata Nova.

 

Pendekatan tersebut jelas berbeza dengan beregu lelaki utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tetap akan beraksi di Jerman sebelum terbang ke England, namun bagi sektor campuran, pengurusan beban perlawanan dilihat lebih kritikal ketika ini.

 

Nova turut mengakui terdapat beberapa masalah fizikal kecil dalam kalangan pemain, namun menegaskan fokus utama adalah memastikan kedua-dua pasangan berada dalam keadaan terbaik selepas pengalaman pahit tersingkir awal di All England musim lalu.

 

“Sentiasa ada masalah kecil seperti kecederaan ringan, tetapi yang paling penting kami berada dalam keadaan bersedia dan fokus.

 

“Kami tidak bercakap soal menjadi juara terlebih dahulu, sebaliknya mahu mendapatkan keputusan terbaik. Selepas pusingan pertama sekali pun, walaupun menentang lawan yang ranking lebih rendah, kami tetap perlu kekal fokus,” ujarnya.

 

Untuk rekod, Tang Jie-Ee Wei yang kini menghuni ranking keempat dunia tersingkir awal di India sebelum bangkit menjuarai Indonesia Masters, manakala Pang Ron-Su Yin masih mencari rentak selepas gagal menembusi suku akhir dalam tiga kejohanan terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN