RIYADH: Mahkamah Agung Arab Saudi menyeru seluruh umat Islam di negara itu untuk melakukan cerapan anak bulan bagi menentukan permulaan bulan suci Ramadan pada petang Selasa ini.
Memetik laporan Saudi Press Agency, pihak mahkamah memohon sesiapa sahaja yang berjaya melihat anak bulan, sama ada dengan mata kasar atau menggunakan teropong binokular, supaya melaporkannya kepada mahkamah berhampiran untuk mendaftarkan kesaksian mereka.
Alternatif lain, individu tersebut boleh menghubungi pusat bantuan terdekat untuk urusan pendaftaran saksi di mahkamah.
Lapor Arab News, pihak mahkamah turut berharap agar golongan yang mempunyai kepakaran dalam pencerapan anak bulan dapat menyertai jawatankuasa yang telah dibentuk di wilayah masing-masing bagi tujuan tersebut demi kemaslahatan seluruh umat Islam.
Hari Selasa ini bersamaan dengan 29 Syaaban dalam kalendar Hijriah.
Sekiranya anak bulan berjaya dilihat pada malam Selasa, maka Ramadan akan bermula pada Rabu.
Bagaimanapun, sekiranya anak bulan tidak kelihatan, bulan Syaaban akan digenapkan menjadi 30 hari dan ini bermakna ibadah puasa Ramadan akan bermula pada Khamis.










