KEPALA BATAS: Seorang suri rumah bersyukur menerima bantuan untuk mendapatkan barang keperluan harian selepas berdepan musibah tiga hari lalu apabila rumah yang didiaminya di Kampung Penaga di sini musnah dalam satu kebakaran.
Naimah Hamidi, 28, berkata, ketika kejadian, mujurlah dia, suami serta anak tunggal mereka yang berusia dua tahun tidak berada di dalam rumah tersebut kerana berada di rumah ibu mentuanya di Taman Penaga di sini.
Wanita itu berkata, walaupun kehilangan banyak harta benda susulan tragedi berkenaan, namun, dia pasrah akan ketentuan Ilahi dan menganggap kejadian tersebut sebagai satu dugaan buat keluarganya.
Naimah yang kini menumpang di rumah ibunya, Azliyaton Ali, 51, di Kuala Muda, Penaga, tidak jauh dari situ berkata, buat masa ini, dia juga enggan terlalu memikirkan persiapan untuk menyambut Ramadan seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Alhamdulillah, dapat bantuan seperti ini pun sudah cukup bagi saya. Walaupun mungkin nampak tidak banyak, tetapi, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga saya,” katanya.
Naimah merupakan antara 50 penerima baucer barang keperluan bernilai RM50 yang disumbangkan oleh Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Zainuddin Mohamed dengan kerjasama penganjur Karnival Bazar Mahabbah Ramadan Syawal di Bertam Square di sini hari ini.
Seorang lagi penerima baucar, Norazlina Saad, 50, juga bersyukur apabila terpilih untuk menerima bantuan tersebut memandangkan suaminya kini terlantar sakit dan tidak dapat mencari nafkah buat keluarga mereka.
“Syukur sangat apabila dapat baucar sebanyak RM50 dan dapat beras sekali gus. Kuranglah sikit beban nak buat persiapan untuk sambut Ramadan tahun ini,” kata ibu kepada tiga anak itu. – UTUSAN










