PETALING JAYA: Para penternak tempatan telah mula membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan daging mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat sepanjang bulan Ramadan serta sambutan Aidilfitri pada tahun hadapan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dengan perancangan awal, kerjasama penternak dan sokongan dasar yang betul, bekalan daging untuk rakyat tahun hadapan juga akan terus terjamin.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, bekalan daging negara sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat termasuk ketika permintaan memuncak pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Umat Islam dijangka menyambut Ramadan pada Februari 2026, dengan Aidilfitri di penghujung Mac 2026. Persiapan bekalan daging sudah pun dimulakan dari sekarang oleh penternak-penternak tempatan,” katanya di dalam Facebook hari ini.
Terdahulu, umat Islam dijangka menyambut bulan Ramadan pada Februari 2026 sebelum meraikan Hari Raya Aidilfitri pada penghujung Mac tahun yang sama, tertakluk kepada pengumuman rasmi pihak berkuasa agama.
Daging merupakan antara makanan penting yang menjadi hidangan utama ketika sambutan perayaan Hari Raya Adiliftri. – UTUSAN










