Kelantan teliti penempatan baharu mangsa kebakaran Kampung Cina Gok Kapur

Kelantan teliti penempatan baharu mangsa kebakaran Kampung Cina Gok Kapur

MOHD. Nassuruddin Daud menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina Gok Kapur Kota Bharu hari ini.- UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meneliti dan membincangkan cadangan penempatan baharu bagi mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini yang mengakibatkan puluhan keluarga kehilangan tempat tinggal.

Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, perkara itu perlu diperhalusi memandangkan kebanyakan rumah yang musnah dalam kejadian tersebut dibina di atas tanah milik persendirian yang disewa oleh penduduk.

“Kita akan teliti dan bincang kemudian mengenai penempatan baharu kerana ia melibatkan tanah yang disewa oleh penduduk.

“Apa pun, semua mangsa diharap bersabar menghadapi ujian dan musibah ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini selepas menyampaikan bantuan awal iaitu wang tunai kepada 27 keluarga mangsa menerusi Tabung Serambi Mekah.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, setakat ini mangsa ditempatkan sementara di surau kampung berkenaan, Masjid Kampung Banggol serta rumah saudara-mara.

“Mangsa terlibat juga disediakan kemudahan makan dan minum,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesahkan sebanyak 29 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini, semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN