Siasatan menyeluruh kematian anggota tentera

Siasatan menyeluruh kematian anggota tentera

MOHAMAD KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu jawatankuasa akan diwujudkan untuk menyiasat kematian anggota tentera ketika mengikuti kursus kru Armor Kelas 1 di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang, kelmarin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada sebarang unsur penderaan atau salah laku yang boleh dikaitkan dengan kematian Truper, K. Indiran, 22 berdasarkan hasil bedah siasat.

Katanya, beliau justeru itu mengesa semua pihak agar tidak mempolitikkan insiden kematian anggota tentera berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat kematian mangsa dan siasatan dalaman menyeluruh akan dibuat.

“Cuma permintaan saya janganlah perkara itu dipolitikkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Program Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Indiran yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10, Kuantan telah ditemukan tidak sedar diri oleh rakannya sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Pahang.

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika sedang menerima rawatan.

Pada masa sama, Ibunya, S. Usha, 52, dilaporkan menolak berkata pihaknya menolak segala andaian yang mengaitkan kematian anaknya itu dengan kejadian buli atau penderaan kerana tidak mahu mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Wanita itu turut memberitahu hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati tiada bentuk kecederaan fizikal yang dialami anak sulung daripada empat beradik itu.

Terdahulu, Pengerusi MIC Pulau Pinang, J. Dhinagaran dalam satu kenyataan menggesa pihak berkuasa melakukan proses bedah siasat kali kedua terhadap jasad mangsa kerana kemungkinan wujud kecederaan dalaman yang memerlukan siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini