KUALA LUMPUR: Di sebalik kemeriahan bazar dan alunan lagu raya, Semarak Syawal Malaysia–Indonesia 2026 menjadi medan menyatukan impian usahawan kecil dan sederhana (PKS) dua negara yang mahu melangkah lebih jauh ke pasaran global.
Program yang berlangsung di pusat beli belah ibu kota itu bukan sekadar ruang jual beli, sebaliknya platform membina jaringan dan kepercayaan antara pemain industri Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Program merangkap Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Permuafakatan Usahasama Malaysia (DPPUM), Ariff Fadli Abd Wahab berkata, konsep Lokal ke Global dirangka bagi memastikan usahawan kecil mampu menembusi rantaian nilai perdagangan rentas sempadan.
“Semarak Syawal menjadi platform untuk usahawan PKS membina kolaborasi jangka panjang, sekali gus memperkukuh hubungan dagang rakyat ke rakyat yang lebih mampan,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau menambah, program itu turut diselaraskan dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 dalam usaha memperkukuh kedudukan negara sebagai hab perdagangan dan pelancongan serantau.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Andalan Nahdliyin UMKM Indonesia DKI Jakarta, Merda Nelly Hasan memaklumkan pihaknya membawa kira-kira 30 usahawan Indonesia bagi membina kerjasama strategik bersama PKS tempatan.
“Konsepnya bukan sekadar menjual produk Indonesia di sini, tetapi kita bergabung dengan PKS Malaysia untuk memproses, menambah nilai dan membawa produk tersebut ke luar negara secara bersama,” katanya.
Menurut beliau, kelebihan pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf global menjadi faktor utama pemilihan negara ini sebagai inkubator eksport ke destinasi seperti Eropah, Australia dan Amerika Syarikat.
Sepanjang 32 hari penganjuran hingga 18 Mac ini, karnival tersebut turut diisi dengan forum ekonomi, padanan perniagaan serta persembahan seni budaya yang mencerminkan kekuatan warisan serumpun.
Gabungan ekonomi dan industri kreatif melalui Semarak Syawal Malaysia–Indonesia 2026 dilihat mampu menjadi pemangkin jaringan perdagangan baharu, sekali gus mengangkat peranan PKS sebagai pemacu utama ekonomi serantau.- UTUSAN










