KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bersikap tegas untuk melindungi kepentingan masyarakat berbilang kaum dan memastikan rakyat bekerjasama dalam membina perpaduan dan keharmonian di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting kerana tiada negara boleh mencapai kejayaan jika rakyatnya bergaduh antara satu sama lain dan tiada semangat bertolak ansur untuk mengangkat semua kaum dan agama dalam semua bidang.
Katanya, hasil kerjasama rakyat berbilang kaum di negara ini selama ini telah membuahkan hasil dengan data ekonomi menunjukkan Malaysia mencatat kemajuan yang jauh lebih membanggakan.
“Semuanya ini kerana negara kita aman, rakyat mempunyai semangat muafakat, dan kita bekerja bersama-sama untuk mengangkat martabat Malaysia.
Namun, jika ingin berjaya, kita mesti menerima bahawa wujud masalah dan perbezaan, tetapi perlu bekerjasama menyelesaikannya sebagai masyarakat yang hebat, sebagai keluarga Malaysia yang bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), hari ini.
Perdana Menteri berkata, sikap tegas kerajaan bukan bermaksud menindas, sebaliknya bagi memastikan rakyat terus bekerjasama dan memelihara keamanan serta keharmonian hidup bermasyarakat.
Katanya, dalam masyarakat berbilang bangsa, cabaran utama adalah mengekalkan perpaduan nasional dan mengatasi isu perpecahan serta sikap perkauman.
“Isu ini bukan perkara baharu kerana sejak sebelum merdeka, pemimpin terdahulu termasuk Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sentiasa menekankan kepentingan bekerjasama serta menghadapi cabaran berkaitan perkauman.
“Sejarah ini mengingatkan kita sekiranya ingin berjaya, kita perlu menerima masalah dan perbezaan, tetapi perlu berusaha menyelesaikannya sebagai satu keluarga yang bersatu,” katanya. – UTUSAN










