PETALING JAYA: Tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membenarkan jawatankuasa bahagian untuk mengumumkan pembubaran.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia (Armada), Harris Idaham Rashid berkata, ini kerana perkara itu berada dalam bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan oleh Presiden parti.
Katanya, badan perhubungan negeri juga tidak berhak untuk mengumum atau mengesahkan pembubaran bahagian di negeri masing-masing dan perkara sama turut terpakai kepada semua sayap parti.
“Menjadi ahli, memegang jawatan atau meletak jawatan adalah hak individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10 iaitu kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
“Namun, untuk mengumumkan pembubaran bahagian, jawatankuasa atau individu termasuk jetua bahagian tidak mempunyai hak sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Harris Idaham berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa jawatankuasa bahagian yang mengumumkan bahagian terbubar hanya kerana ahli jawatankuasa meletak jawatan.
“Armada menasihatkan media supaya menunggu pengumuman Setiausaha Agung berhubung status sesuatu Bpbahagian dan tidak melaporkan pembubaran sebelum ia diputuskan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi.
“Tiada masalah untuk melaporkan mengenai peletakan jawatan kerana ia adalah hak masing-masing,” katanya.
Terdahulu, seorang ahli seumur hidup Bersatu Bahagian Kepala Batas mendakwa parti itu masih belum ‘terkubur’ di Kepala Batas kerana ramai ahlinya yang masih setia ketika ini.
Dakwaan itu dibuat oleh Muhammad Khairi Zainol Abidin yang juga merupakan Exco Armada Bersatu tidak sampai 24 jam selepas Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq mengumumkan pembubaran jawatankuasa bahagian parti berkenaan, malam tadi. – UTUSAN










