SEREMBAN: Sebuah restoran di bandar ini yang tular di media sosial selepas seorang pekerja ya dipercayai ‘mencuci’ lebihan makanan untuk dijual semula kepada pelanggan diarahkan tutup selama 14 hari bermula semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) dalam kenyataan berkata, , siasatan telah dijalankan ke atas restoran berkenaan dan pemilik premis dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk arahan penutupan premis selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Selain itu, notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 selepas mendapati berlaku pelanggaran terhadap aspek kebersihan dan keselamatan makanan.
“JKNNS memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan kerana pengabaian terhadap perkara ini boleh menyebabkan kejadian keracunan makanan serta menjejaskan kesihatan orang awam,” katanya.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menerusi Facebook memaklumkan, hasil pemeriksaan pada pukul 5 petang hingga 7 malam semalam mendapati , premis berkenaan menjalankan perniagaan restoran makan dan minum tanpa kebenaran MBS selain mempamerkan iklan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
“Pemeriksaan turut mendapati tahap kebersihan premis berada pada tahap tidak memuaskan termasuk kegagalan menyediakan jadual pembersihan dan cucian tandas.
“Selain penutupan premis, Pejabat Kesihatan Daerah Seremban turut mengeluarkan Notis 32B di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 atas beberapa kesalahan termasuk kegagalan menyediakan rekod suntikan tifoid dan kursus pengendali makanan,” katanya.
Selain itu, premis berkenaan juga didapati gagal memastikan kawasan restoran bebas daripada makhluk perosak apabila kehadiran lipas dikesan semasa pemeriksaan dijalankan.
Semalam, media melaporkan JKNNS menyiasat dakwaan tular di media sosial mengenai sebuah restoran di bandar ini yang ‘mencuci’ lebihan masakan seperti tauhu, daging ayam dan daging kambing untuk dijual semula kepada pelanggan.
Kejadian dikatakan berlaku tengah malam semalam di belakang restoran berkenaan. – UTUSAN









