SEPANG: Fabio Quartararo tidak berselindung apabila mengakui jentera baharu Yamaha berkuasa enjin V4 masih ‘jauh’ untuk mencabar barisan hadapan selepas ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.
Lebih malang, ujian pelumba Perancis itu turut diganggu masalah teknikal apabila pintu garaj Yamaha dilaporkan tertutup sepanjang hari kedua, sekali gus mengehadkan masa di litar.
Satu-satunya perkembangan positif buat juara dunia 2021 itu ialah dia sempat menguji enjin V4 baharu ketika sesi Shakedown dan hari pertama ujian rasmi, walaupun menunggang dengan jari patah.
Namun, dari sudut prestasi, gambaran yang diberikan oleh Quartararo cukup membimbangkan.
“Saya tidak boleh kata saya yakin kerana kami melihat betapa kami menderita. Masa pusingan kami tidak begitu baik,” katanya
Pada hari pembukaan ujian rasmi, Quartararo sekadar mencatat masa kesembilan terpantas, 0.851 saat di belakang juara dunia bertahan Ducati, Marc Marquez. Lebih merisaukan, Yamaha seterusnya iaitu Jack Miller hanya berada di kedudukan ke-14.
“Kami tahu di mana kami berada. Kami tahu kami sudah sangat jauh. Tetapi kami perlu terima hakikat itu dan bekerja keras, itu sahaja yang boleh kami lakukan,” katanya.
Selepas sekian lama setia dengan enjin Inline4, Quartararo menegaskan dia tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dengan karakter V4.
“Saya terus dapat rasa di mana saya perlu ubah gaya tunggangan. Tetapi V4 kami tidak sama seperti yang lain,” jelasnya. – AGENSI/UTUSAN










