Martin dapat lampu hijau ke Buriram

Martin dapat lampu hijau ke Buriram

Aprilia mengesahkan pelumba pasukan itu, Jorge Martin lulus ujian perubatan dan hanya menunggu pemeriksaan pasukan perubatan Grand Prix FIM sebelum dibenarkan berlumba dalam pembukaan musim di Buriram, Thailand. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pelumba Aprilia, Jorge Martin semakin hampir untuk membuat kemunculan semula dalam MotoGP 2026 apabila dijangka menyertai ujian pramusim terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 21 dan 22 Februari ini.

Bekas juara dunia itu sebelum ini terlepas ujian pramusim pembukaan di Sepang selepas menjalani pembedahan susulan secara tertutup pada pergelangan tangan dan tulang selangka akibat kecederaan berpanjangan yang menjejaskan musim sulungnya bersama Aprilia.

Aprilia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pemeriksaan perubatan terbaharu yang dijalani pelumba Sepanyol menunjukkan perkembangan positif, sekali gus membuka laluan untuk dia berlepas ke Thailand.

“Hari ini (kelmarin) Jorge Martin menjalani pemeriksaan perubatan ke atas tangan kiri dan tulang selangka kanan di Hospital Ruber Internacional.

“Pemeriksaan perubatan itu adalah positif, oleh itu dia akan berlepas ke Buriram, Thailand minggu hadapan untuk mengambil bahagian dalam ujian Buriram.

“Martin masih perlu menjalani penilaian oleh Pasukan Perubatan Kejuaraan Dunia Grand Prix FIM untuk menerima kelulusan rasmi bagi menyertai ujian tersebut,” katanya.

Sekiranya Martin diisytiharkan cergas untuk menunggang, Buriram akan menjadi penampilan pertamanya di atas litar sejak ujian pasca perlumbaan Valencia tahun lalu.

Litar Antarabangsa Chang kemudiannya akan menjadi tuan rumah pusingan pembukaan musim MotoGP 2026 pada hujung minggu berikutnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN