PM kesal ada tokoh agama pecahkan perpaduan

PM kesal ada tokoh agama pecahkan perpaduan

ANWAR Ibrahim merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegur segelintir tokoh agama yang menggunakan sentimen keagamaan untuk menimbulkan permasalahan dan memecah-belahkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Menurut, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memuliakan darjat sesama manusia walaupun berbeza keyakinan dan kepercayaan akan membawa negara ke arah lebih baik serta menjamin keharmonian.

Katanya, beliau senang melihat tokoh-tokoh muda yang hanya memfokuskan masa dan tenaga ke arah cara positif membina negara tanpa sibuk dengan isu-isu yang memecah-belahkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi menjayakan Malaysia sebagai negara Madani, mengangkat martabat, darjat dan harakat bangsa ini, kita tidak boleh lari daripada berpaksikan tauhid, bertaut kepada keyakinan bahawa ahklak baik dan nilai positif mampu membina negara ini.

“Kalau kita tidak menjurus ke arah itu dan diheret untuk setiap hal-hal negatif, tidak ada negara yang mampu membangun. Negara Malaysia ini negara majmuk,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa dan Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, tidak salah jika semua pihak mengambil jalan tengah untuk menghormati satu sama lain walaupun berbeza keyakinan.

“Kalau tidak apa yang dibicarakan? Pergaduhan. Hari-hari yang dikemukakan adalah masalah yang memecahkan di antara kita.

“Ada orang menggunakan kononnya tokoh Islam, ada juga yang gunakan tokoh agama Hindu dan agama lain, hanya untuk menimbulkan permasalahan,” katanya.

Pada masa sama, Anwar juga mengingatkan kepada semua pihak bahawa Malaysia sebuah negara mengamalkan Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyatnya juga beragama Islam.

Namun, beliau berkata, Malaysia mengamalkan toleransi terhadap semua rakyat walaupun berbeza agama dan kepercayaan supaya keamanan kekal dijamin.

“Tetapi kita terima hak semua kaum dan semua agama. Kita setuju dan ikrar untuk menjamjn masa depan dengan aman bersama semua (kaum) dan menghormati hak masing-masing.

“Jadi bagi saya, majoriti termasuk pemimpin-pemimpin agama itu mengambil sikap positif. Saya ingin menyeru keutamaan anak-anak muda. Rakan masjid, rakan muda ini. Cara berani, cara terang, selamatkan negara kita, bawa mesej yang positif.

“Bangunkan kehidupan yang sihat, sementara itu menegakkan, mengukuhkan keyakinan kita sebagai orang Islam,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini