LANGKAWI: Seorang pelancong lelaki warga China dikhuatiri lemas ketika mandi bersama anak lelakinya di Pantai Tanjung Rhu, di sini semalam.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian melibatkan mangsa berusia 49 tahun itu pada pukul 8.43 malam.
“Maklumat awal menyatakan mangsa sedang mandi-manda bersama anak lelakinya di kawasan pantai terbabit sebelum dilaporkan hilang daripada pandangan.
“Anak mangsa kemudian menemui topi milik bapanya terapung di permukaan air sebelum memaklumkan kejadian kepada kakitangan sebuah hotel berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Zamri berkata, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi digerakkan melakukan operasi pencarian di permukaan air di sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan secara bersepadu bersama Maritim Malaysia dengan pemantauan berterusan terhadap keadaan ombak, arus serta faktor keselamatan anggota,” katanya.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan pagi ini selepas dihentikan malam tadi susulan kawasan sekitar gelap dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – UTUSAN










