SEREMBAN: Negeri Sembilan memerlukan tambahan kira-kira 3,600 orang guru serta 450 bilik darjah baharu sekiranya cadangan kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu dilaksanakan tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan tersebut melibatkan implikasi besar terhadap keperluan infrastruktur dan sumber manusia pendidikan khususnya di kawasan bandar.
Menurutnya, dijangka akan berlaku peningkatan murid Tahun Satu yang boleh mencecah 32,364 orang sekiranya ibu bapa memilih menghantar anak berusia enam tahun ke sekolah tahun depan.
“Keadaan ini memerlukan sekurang-kurangnya 450 buah bilik darjah tambahan,selain penambahan 3,600 orang guru bagi menampung pertambahan murid.
“Berdasarkan unjuran, enrolmen murid tujuh tahun pada 2027 dianggarkan seramai 16,018 orang. Jika ibu bapa turut memilih untuk menghantar anak berusia enam tahun ke Tahun Satu, jumlah keseluruhan murid boleh mencecah 32,364 orang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, hari ini.
Aminuddin berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) juga akan meneliti keperluan pembinaan bilik darjah baharu kerana isu kesesakan murid hanya berlaku di kawasan bandar iaitu di daerah Port Dickson dan Seremban.
“Isu sekolah dua sesi dan kepadatan murid di kawasan bandar memerlukan perhatian serius. Kita harap isu ini dapat diselesaikan mulai sekarang dengan kajian dan penambahbaikan.
“Selain itu, saya berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat mempertimbangkan penyediaan perjawatan guru tambahan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Nilai dan Seremban 2 dikenal pasti antara kawasan tumpuan utama di Negeri Sembilan yang berdepan isu kesesakan sekolah, susulan pertambahan kemasukan murid Tahun Satu dan pelajar Tingkatan Satu, khususnya di kawasan perumahan berhampiran sempadan Selangor.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalidah Omar berkata, antara kawasan yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ ialah Nilai Impian, Taman Semarak dan Taman Desa Cempaka, dengan kepadatan murid dilaporkan mencecah 42 hingga 43 orang bagi satu kelas. – UTUSAN










