PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyokong penubuhan pasukan petugas khas bagi menangani isu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).
Kuskop dalam kenyataan berkata, inisiatif yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) itu merupakan langkah proaktif bagi memastikan kestabilan ekonomi selain dilihat mampu melindungi ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Katanya, isu salah guna PLS oleh warga asing untuk menjalankan perniagaan tanpa kebenaran boleh menjejaskan persaingan sihat serta memberi kesan kepada produktiviti, daya saing dan kelangsungan perniagaan usahawan tempatan.
“Inisiatif yang diterajui oleh MOF ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memastikan kestabilan ekonomi dan kedaulatan undang-undang negara.
“Sebagai kementerian yang menggalas tanggungjawab membangun serta memudah cara kelangsungan ekosistem PMKS, Kuskop memandang serius pandangan para usahawan tempatan,” katanya.
Sehubungan itu, Kuskop bersedia untuk memperkukuh kerjasama merentas agensi kementerian terlibat bagi memastikan perkara tersebut ditangani secara lebih bersepadu dan berkesan.
“Bagi memastikan isu ini ditangani secara menyeluruh dari segenap sudut, Kuskop menyatakan kesediaan untuk berganding tenaga dan menyelaraskan gerak kerja bersama.
“Kuskop tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang yang mencabar kedaulatan negara.
“Fokus utama kementerian ini adalah untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang adil, telus dan kondusif khusus bagi rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










