BERLIN: Pengendali Borussia Dortmund, Niko Kovac menuntut anak buahnya membawa momentum cemerlang Bundesliga ke pentas Liga Juara-Juara apabila berdepan Atalanta dalam aksi play-off kalah mati, awal pagi ini.
Dortmund yang sedang menikmati enam kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik kembali menghidupkan peluang memburu kejuaraan liga, namun prestasi Eropah mereka masih belum cukup meyakinkan.
Tanpa kemenangan dalam tiga aksi terakhir fasa liga, kelab gergasi Jerman itu menamatkan saingan di tangga ke-17 sekali gus terpaksa mengharungi laluan sukar sebagai pasukan bukan pilihan dalam undian play-off.
“Kami mahu membawa momentum yang kami ada dalam Bundesliga ketika ini dan mahu menggerakkan semangat itu bersama para penyokong.
“Di peringkat kalah mati, segalanya tentang mara ke pusingan seterusnya tetapi kami tidak boleh hanya bercakap, sebaliknya perlu bekerja keras di atas padang,” kata Kovac.
Untuk melangkah ke kelompok 16 terbaik, Dortmund perlu menewaskan juara Liga Europa 2024, Atalanta dalam aksi timbal balik dengan pertemuan pertama berlangsung di laman sendiri sebelum bertandang ke Itali pada 25 Februari.
“Atalanta memiliki pasukan yang hebat dan semakin matang sejak beberapa tahun lalu serta berada di kelompok teratas Serie A, jadi peluang saya lihat 50-50 dan kami berharap dapat ke Itali dengan bekalan keputusan positif,” ujarnya.
Atalanta yang kini menghuni tangga keenam Serie A turut menunjukkan peningkatan prestasi domestik sejak awal tahun meskipun aksi Eropah mereka belum benar-benar stabil, menjadikan pertembungan ini dijangka sengit dan penuh intensiti. – AGENSI










