Kewangan operator air lemah punca air terawat sukar dicapai

Kewangan operator air lemah punca air terawat sukar dicapai

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan dan kesan pandemik Covid-19 dikenal pasti antara faktor utama sasaran kadar air tidak terhasil (NRW) sebanyak 31 peratus ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sukar dicapai.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif pengurangan NRW perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan pelaburan yang besar.

Katanya, kedudukan kewangan operator air yang kurang mampan berikutan kadar tarif air sedia ada yang masih tidak menggambarkan kos operasi sebenar telah mengehadkan kemampuan operator air untuk melaksanakan program pengurangan NRW sedia ada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini menyebabkan kesukaran untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan. Pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 juga telah menjejaskan pelaksanaan Program NRW yang dirancang.

“Ia menyebabkan sebahagian pelaksanaannya tertangguh dan menjejaskan pencapaian sasaran 31 peratus yang ditetapkan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sebab utama kegagalan mencapai sasaran NRW sebanyak 31 peratus pada 2025 walaupun sebanyak RM2.525 bilion diperuntukkan di bawah Belanjawan 2025.

Tuan Ibrahim juga ingin mengetahui langkah pembetulan segera dan konkrit yang diambil Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk mencapai sasaran 25 peratus NRW menjelang 2030.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, PETRA telah melaksanakan penambahbaikan terhadap program sedia ada melalui Program Pengurangan NRW Kebangsaan Fasa 1 dan 2.

Katanya, ia merangkumi penggantian paip kritikal di seluruh negara serta penyelesaian NRW secara holistik di enam negeri iaitu Pahang, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Selain itu, pemberian imbuhan balik kepada operator air juga diteruskan melalui Program NRW Kebangsaan Pendekatan 2 apabila kadar prorata diperkenalkan untuk menggalakkan penyertaan operator air di negeri terlibat.

“Melalui inisiatif yang dilaksanakan, diharapkan sasaran NRW 28.8 peratus dapat dicapai menjelang 2030,” katanya.

Tambah beliau, pelarasan tarif air bagi tempoh pelaksanaan kedua (Mekanisme Penetapan Tarif-TSM 2) bermula 1 Ogos 2025 juga dijangka membantu meningkatkan aliran tunai kepada operator air bagi tujuan kos operasi dan pengurangan NRW.

“Oleh itu, operator air perlu memainkan peranan dalam usaha mengurangkan NRW ke arah mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini