PETALING JAYA: Prof. Dr. Juliana Johari dilantik Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuat kuasa esok.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib berkata, pihaknya yakin pelantikan Juliana itu mampu memperkukuh ekosistem jaringan universiti.
“Dengan pengalaman kepimpinan dan kepakaran digital dimiliki, saya yakin Juliana mampu memperkukuh ekosistem jaringan industri, komuniti dan alumni secara lebih dinamik serta berimpak dan memacu UiTM ke arah Universiti Unggul Pemacu Bumiputera Profesional,” katanya dalam kenyataan.
Shahrin berkata, sinergi antara universiti dan industri amat kritikal bagi memastikan graduan dilahirkan relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan modal insan negara.
“UiTM kini muncul universiti komprehensif terbesar negara dengan 34 kampus, 24 fakulti dan sembilan pusat akademik di seluruh Malaysia, selain menawarkan lebih 500 program akademik merangkumi peringkat asasi hingga doktor falsafah serta program profesional.
“Universiti turut mencatat pelbagai pencapaian dalam penarafan antarabangsa, termasuk tersenarai dalam QS World University Rankings dan Times Higher Education, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif, dinamik dan berdaya saing,” katanya.
Terdahulu, watikah pelantikan diserahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman kepada Juliana sambil disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya.
Juliana bakal menerajui agenda memperkukuh jaringan industri, memperkasa pembabitan komuniti dan mempererat hubungan alumni secara lebih tersusun, sistematik serta berimpak. – UTUSAN










