JDT mara ke separuh akhir penuh bergaya

JDT mara ke separuh akhir penuh bergaya

PERTAHANAN Melaka FC menarik baju penyerang JDT, Joao Figueiredo dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam ini.- UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seperti yang diramalkan pilihan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) mudah menjinakkan Melaka FC 3-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat malam ini.

Kemenangan yang sudah dijangkakan itu memastikan pasukan Harimau Selatan melangkah dengan penuh bergaya ke separuh akhir menerusi agregat 8-1.

Sebelum ini, dalam aksi suku akhir pertama JDT membelasah Melaka FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, pada 13 Februari lalu.

JDT yang merehatkan penyerang utama Ajdin Mujagic yang mencipta hatrik sewaktu menewaskan Melaka FC 5-0 dan Bergson da Silva tidak menjejaskan rentak perlawanan pasukan itu.

Pelawat bermula garang sebaik wisel babak pertama bermula membuatkan pemain tuan rumah menjadi kelam kabut.

JDT tidak perlu menunggu lama apabila pemain kebangsaan, Corbin Ong meledakkan jaringan pertama seawal minit ketujuh.

Gol tercipta apabila dia melakukan tolakan mudah selepas menerima hantaran Jairo untuk kedudukan 1-0.

Tersentak gol awal anak didik E.Elavarasan cuba bangkit namun sukar menembusi benteng ampuh pertahanan JDT.

Pada minit ke-30 JDT menggandakan jaringan apabila giliran Jairo pula menyudahkan hantaran daripada Joao Figueirido.

Pelawat jelas menguasai babak perlawanan dengan serangan bertali arus sehingga memaksa pemain Melaka FC banyak bertahan.

JDT terus mengukuhkan kedudukan apabila Jairo menjaringkan gol kedua peribadinya dengan menanduk masuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Samuel Somerville pada minit ke-54 bagi kedudukan 3-1.

Pada minit terakhir sebelum perlawanan hendak ditamatkan pemain import Melaka FC dari Mesir, Ahmed Shamsaldin menjaringkan gol saguhati.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN