Dakwaan Stadium Sultan Ibrahim bukan milik JDT tidak berasas

Dakwaan Stadium Sultan Ibrahim bukan milik JDT tidak berasas

Stadium Sultan Ibrahim - IHSAN FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dakwaan bahawa Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bukan milik Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tidak berasas dan hanya berpotensi mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Mad Shah sehubungan itu menafikan dakwaan tersebut yang disifatkan sebagai dangkal dan mengelirukan.

Beliau berkata, SSI adalah hak milik JDT yang berada di bawah naungan dan perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemilik kelab berkenaan.

“Pembinaan stadium ini adalah sebahagian daripada visi strategik Pemangku Sultan Johor dalam membangunkan ekosistem sukan bertaraf dunia di Johor.

“JDT berperanan sebagai entiti profesional yang mengurus dan membangunkan pasukan, termasuk aspek teknikal, prestasi pemain, pembangunan bakat dan pengurusan kelab secara keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, tular di laman X mengenai muat naik mengenai dakwaan SSI bukan kepunyaan JDT dan sebaliknya skuad Harimau Selatan itu hanyalah penyewa.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu, Tunku Mahkota Ismail telah memberi kepercayaan kepada Perbadanan Stadium Negeri Johor (PSNJ) melaksanakan tadbir urus stadium secara profesional dan mengikut standard antarabangsa.

“Saya seru semua pihak, khususnya penulis dan pempengaruh media sosial agar lebih bertanggungjawab, menyemak fakta dan tidak membuat kenyataan yang boleh mencemar reputasi institusi sukan negeri serta kepimpinan negeri Johor.

“Kerajaan negeri komited memastikan Stadium Sultan Ibrahim terus diurus secara profesional, berintegriti dan menjadi kebanggaan rakyat Johor serta simbol kecemerlangan sukan negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN