JOHOR BAHRU: Persatuan Kebajikan Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) merayu agar isu status Tanah Rizab Melayu (TRM) kampung tersebut tidak dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak.
Pengerusinya, Abdul Rahim Md. Shariff berkata, isu permohonan TRM daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal merupakan isu rakyat dan itu yang diperjuangkan pihaknya.
Katanya, pihaknya sedang menunggu jawapan bertulis susulan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah dan beberapa pegawai kerajaan negeri, 26 Januari lalu.
“Sehingga hari ini, Perkam masih menunggu jawapan bertulis. Kami adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan parti politik. Perkam tidak membawa sebarang sentimen daripada mana-mana parti atau gerakan politik.
“Sehubungan itu kami amat berharap agar mana-mana pihak menghentikan penglibatan politik dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pada 20 April lalu, media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee hidup dalam dilema setelah permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih tergantung.
Tempoh pajakan TRM Kampung Melayu Majidee dijadual berakhir pada 2053, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka.
Kampung Melayu Majidee yang terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar, penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru di Kuala Lumpur. – UTUSAN










