KUALA LUMPUR: Himpunan #TangkapAzamBaki berlangsung tanpa provokasi daripada pesera untuk menimbulkan kekecohan di luar kawalan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tiada sebarang bentuk kekerasan yang berlaku sepanjang himpunan berlangsung.
“Himpunan orang awam yang bermula pukul 4 petang tadi dan telah berlangsung dengan baik dengan kawalan pihak polis serta kemudiannya berarak ke Dataran Merdeka.
“Keseluruhan saya boleh simpulkan bahawa perhimpunan aman ini berjalan dengan baik dengan kerjasama semua orang awam terutamanya.
“Saya boleh anggarkan kehadiran lebih kurang 200 orang berhimpun semua sekali termasuklah penceramah yang dipanggil oleh penganjur dan orang-orang tertentu yang terlibat di dalam perhimpunan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan sepanjang perhimpunan.
“Walau bagaimanapun pihak polis melalui risikan dan juga penyiasatan akan memerhati semula perhimpunan ini daripada awal sehingga selesai dan untuk memastikan tiada isu yang dikaitkan berkenaan dengan 3R.
“Saya mahu menekankan perkara ini bahawa pihak penganjur juga memainkan tanggungjawab untuk mematuhi segala arahan pihak penguatkuasaan sekali gus orang awam juga bertanggungjawab untuk memahami. Ia adil untuk semua,” katanya. – UTUSAN










