Jangan hukum dulu sebelum ada bukti - Anwar

Jangan hukum dulu sebelum ada bukti – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sebarang dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan mana-mana pihak perlu disiasat secara telus dan terbuka tanpa prejudis.

Menurut Perdana Menteri, prinsip kerajaan adalah jelas iaitu setiap dakwaan perlu diberikan ruang untuk disiasat secara menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

“Apa pun salah laku yang ada dakwaan, kita harus konsisten. Sama ada sesiapa pun, kalau ada dakwaan, siasat dengan telus dan terbuka.

“Sebelum selesai siasatan dan pendakwaan, janganlah kita hukum. Sekarang ini kita dengar dan beri ruang untuk siasatan dijalankan,” katanya ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding di sini hari ini.

Anwar diminta mengulas dakwaan salah laku dan penyelewengan dikaitkan dengan dua dasar utama kerajaan ketika diterajui bekas Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli. 

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Rafizi mendakwa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya berhubung Program Visi Silikon dan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) merupakan satu bentuk intimidasi susulan pendiriannya yang lantang menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki digantung tugas serta-merta.

Menurut Rafizi, kedua-dua dasar tersebut dilancarkan oleh Anwar sendiri selepas melalui proses kelulusan menyeluruh termasuk di peringkat jawatankuasa berkaitan, Kabinet dan Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan agar masyarakat tidak terburu-buru membuat sebarang tuduhan atau kecaman yang tidak berasas, apatah lagi dalam bulan Ramadan.

“Kalau ada tuduhan, kita siasat dengan baik. Kalau ada bukti bersalah, dakwa. Tetapi jangan kita hebahkan untuk menghukum sebelum ada keputusan.

“Ini masalah dalam negara kita, dengar sahaja tuduhan terus melompat kecam. Belum tahu lagi, nanti jadi fitnah,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan terbuka menerima sebarang dakwaan termasuk terhadap dirinya sendiri, namun ia mesti disertakan bukti dan melalui proses siasatan yang sah.

“Kalau ada dakwaan, ada bukti, kita siasat dengan telus. Barulah negara ini teratur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN