PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak dapat menghadiri prosiding Lembaga Disiplin parti kerana masih berada di Sydney, Australia.
Perkara itu disahkan oleh seorang pegawai khas beliau kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Hamzah sedang membantu urusan pendaftaran universiti anak perempuannya sebelum menerima notis pada 7 Februari lalu untuk hadir ke prosiding Lembaga Disiplin Bersatu.
“Beliau segera memaklumkan kepada Lembaga Disiplin bahawa tidak dapat menghadiri prosiding berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Hamzah juga sudah memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pada 4 Februari lalu bahawa beliau tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat bermula 5 hingga 13 Februari.
Sebelum ini, Hamzah dilaporkan dipanggil untuk membantu siasatan Lembaga Disiplin Bersatu berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu serta serangan terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berdasarkan notis yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan bertarikh 6 Februari lalu dan sebanyak empat aduan disiplin difailkan terhadap Hamzah, masing-masing bertarikh 30 September tahun lalu dan 5 Februari lalu.-UTUSAN










