PETALING JAYA: Sesi ujian rasmi kedua musim sejuk yang berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol, hujung minggu lalu, tidak berjalan lancar selepas pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli ditimpa kemalangan sehingga menjejaskan jentera KTM yang dipacunya.
Ekoran insiden tersebut, pelumba MSi Racing Team itu tidak dapat memanfaatkan sepenuhnya sesi ujian selama dua hari bagi menguji keserasian jentera menjelang perlumbaan pembukaan musim pada Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Buriram, hujung bulan ini.
“Selepas kemalangan, saya tiada kecederaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Sepanjang dua hari di Jerez, masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki, terutamanya dalam memahami karakter jentera dan memperkemaskan cara tunggangan saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Hakim Danish yang bakal melakukan penampilan sulung selaku pelumba tetap dalam Kejuaraan Motosikal Dunia kini mengejar masa yang semakin suntuk bagi membina keyakinan terhadap jenteranya.
Menurut anak jati Terengganu itu, ujian tersebut amat penting untuknya mengumpul maklumat dan mendapatkan keyakinan serta keserasian bersama jentera.
Katanya lagi, bagi pusingan pertama di Thailand, dia menjangkakan suasana perlumbaan sudah pasti berbeza dari segi cuaca dan keadaan litar.
“Saya berharap keadaan di sana sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk terus menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi,” katanya.
Pada pertengahan sesi ujian, Sabtu lalu, menyaksikan Hakim Danish terlibat dalam satu kemalangan yang mengakibatkan kerosakan besar pada jentera.
Mujur pelumba berusia 18 tahun itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Insiden tersebut telah menjejaskan sesi ujian apabila masa untuk Hakim Danish cuba mencatat sepusingan yang lebih baik menjadi terhad, memandangkan krew pasukan terpaksa bertungkus-lumus membaik pulih jentera bagi membolehkan dia kembali ke litar.
Keadaan itu menyebabkan pasukan tidak dapat memaksimumkan sepenuhnya peluang yang ada sepanjang sesi ujian di Jerez, terutamanya dalam melengkapkan beberapa aspek penting berkaitan penilaian teknikal dan pelarasan jentera.
Bagaimanapun, pasukan kekal komited untuk terus memberi sokongan penuh kepada Hakim Danish bagi membantunya meningkatkan keyakinan di atas jentera, serta mengadaptasi setiap pelarasan dan tetapan yang dilakukan oleh pasukan ke arah prestasi yang lebih kompetitif.
Jerez merupakan sesi ujian terakhir buat pemenang tempat ketiga Piala Red Bull MotoGP Rookies 2025 itu sebelum beraksi di Buriram. – UTUSAN










