17 maut dua serangan bom, tembakan di barat laut Pakistan

17 maut dua serangan bom, tembakan di barat laut Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHWAR: Dua serangan bom dan satu pertempuran bersenjata antara polis dan militan di barat laut Pakistan mengorbankan sekurang-kurangnya 14 anggota keselamatan dan tiga orang awam termasuk seorang kanak-kanak, kata pegawai.

Kejadian berasingan di Wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang turut mencederakan puluhan orang lain itu, berlaku ketika pasukan keselamatan Pakistan berdepan pemberontakan yang semakin memuncak di wilayah utara dan selatan yang bersempadan dengan Afghanistan.

Bulan ini kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab atas letupan bunuh diri besar di sebuah masjid Syiah di ibu negara Islamabad yang mengorbankan 31 orang dan mencederakan 169 yang lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serangan terbaharu di Khyber Pakhtunkhwa menyasarkan sebuah sekatan jalan raya dan balai polis, menurut kenyataan tentera dan seorang pegawai keselamatan.

Militan merempuh kenderaan sarat bahan letupan ke dinding berhampiran sekatan di Daerah Bajaur, mengorbankan 11 anggota keselamatan dan seorang kanak-kanak perempuan, kata tentera pada Selasa.

“Letupan itu menyebabkan kemusnahan teruk pada bangunan kediaman berhampiran sehingga membawa kepada kematian seorang kanak-kanak perempuan tidak bersalah dan mencederakan tujuh yang lain,” jelas kenyataan itu.

Tentera menyifatkan serangan berkenaan sebagai serangan pengganas pengecut dan menyalahkan kumpulan proksi India.

Kenyataan itu menyebut pasukan keselamatan menembak mati sekitar 12 militan ketika mereka cuba melarikan diri dari lokasi kejadian.

Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata, kenderaan tersebut merempuh dinding sebuah kolej agama.

Dalam satu lagi serangan di bandar Bannu, bom yang dipasang dalam sebuah beca meletup di balai polis Miryan, mengorbankan dua orang awam dan mencederakan 17 yang lain, katanya.

Di tempat lain dalam wilayah sama, tiga anggota polis dan tiga militan terbunuh dalam operasi pencarian di Daerah Shangla.

Polis Khyber Pakhtunkhwa berkata, tiga militan yang terbunuh itu terlibat dalam serangan menyasarkan warga China.

China melaburkan berbilion dolar di Pakistan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun projek yang dibiayai negara itu mencetuskan rasa tidak puas hati dan rakyatnya kerap menjadi sasaran serangan.

Pada Mac tahun lalu, lima warga China yang bekerja di tapak pembinaan empangan besar terbunuh bersama pemandu mereka apabila pengebom bunuh diri menyasarkan kenderaan mereka yang kemudian terjunam ke gaung dalam dari Lebuhraya Karakoram.

China merupakan sekutu serantau paling rapat Islamabad dan sering menyediakan bantuan kewangan kepada negara jirannya yang kerap berdepan kesukaran ekonomi.

Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) menyaksikan puluhan bilion dolar disalurkan ke projek pengangkutan, tenaga dan infrastruktur besar, sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan.

Kenyataan polis menyebut ancaman berterusan terhadap koridor jalan strategik dan projek pembangunan China menjadi antara punca utama serangan pada Isnin dilancarkan.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini