Gauff tebus kehampaan

Gauff tebus kehampaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Coco Gauff menebus kehampaan tersingkir awal di Doha minggu lalu apabila melangkah bergaya ke pusingan 16 terbaik Kejohanan Tenis Dubai selepas menewaskan Anna Kalinskaya 6-4, 6-4, awal pagi tadi.

Pemain pilihan ketiga itu yang sebelum ini tewas mengejut kepada Elisabetta Cocciaretto di Qatar bangkit memperagakan ketenangan meskipun melakukan 12 kesilapan servis berganda, namun berjaya mematahkan servis lawan sebanyak enam kali untuk memastikan kemaraan.

“Ia bukan perlawanan paling cantik, tetapi ia sudah memadai untuk hari ini.

“Keadaan agak berangin dan kami berdua bergelut untuk mencari rentak, jadi saya hanya cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin,” kata Gauff.

Sementara itu, juara Terbuka Australia dan pilihan utama Elena Rybakina mempamerkan aksi dominan apabila hanya memerlukan 60 minit untuk menundukkan Kimberly Birrell 6-1, 6-2.

Rybakina akan menentang pemain ‘lucky loser’ Croatia, Antonia Ruzic, yang mara selepas menewaskan Anastasia Zakharova dalam pertarungan tiga set 6-1, 6-7(2/7), 6-1.

Dalam perkembangan lain, Belinda Bencic dan Mirra Andreeva masing-masing menerima ‘walkover’ ke pusingan ketiga susulan penarikan diri lawan mereka akibat kecederaan.

Kejohanan bertaraf WTA 1000 itu turut terjejas dengan penarikan diri beberapa nama besar termasuk pemain No.1 dunia Aryna Sabalenka dan juara enam kali Grand Slam Iga Swiatek yang menyaksikan laluan beberapa pemain pilihan menjadi lebih terbuka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN