KUALA LUMPUR: Empat pemanah lelaki negara diumumkan sebagai teras skuad compound dalam Projek ASIAKOM dalam persiapan penting menjelang Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya dan Sukan Sea 2027.
Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, pemilihan dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan perancangan menyeluruh musim 2026 berjalan lancar.
“Empat atlet lelaki ini dipilih sebagai kumpulan utama untuk acara compound di bawah Projek ASIAKOM,” katanya. Nama yang terpilih ialah Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Ghazalii, Syafiq Busthamin dan Aiman Syafiq Tariki.
Menurut Abdul Hamid, Projek ASIAKOM menumpukan kepada persiapan Sukan Asia sebelum diteruskan ke arah kelayakan Olimpik, terutamanya acara berpasukan campuran compound yang bakal dipertandingkan di Los Angeles 2028.
“Program ini memberi keutamaan dari segi elaun, penyertaan kejohanan tempatan dan antarabangsa bagi memastikan sasaran dicapai,” katanya.
Sebagai persiapan, skuad compound dijadual menyertai empat kejohanan dalaman dan lima kejohanan antarabangsa sebelum temasya Aichi-Nagoya bermula.
Selain compound, NAAM juga menyenaraikan lapan lelaki dan lapan wanita bagi acara recurve dan compound sebagai persiapan ke Sukan Sea 2027.
Semua atlet kini berada di bawah Program Podium, menerima sokongan termasuk elaun dan pendedahan pertandingan.
Abdul Hamid optimis peluang ke Olimpik terbuka luas, memandangkan Malaysia kini berada di ranking ke-16 dunia bagi acara berpasukan campuran compound.
“Untuk Olimpik, hanya satu emas dipertandingkan, iaitu acara berpasukan campuran. Persaingan sengit, dan kelayakan bermula tahun depan,” katanya.
Pemilihan atlet wanita untuk membentuk gandingan campuran akan ditentukan selepas Sukan Asia dan Sukan Sea.-UTUSAN










