Masa tamatkan 'kuasa' Indonesia

Masa tamatkan ‘kuasa’ Indonesia

Ariana Nur Dania Mohamad Zairi ketika mengambil bahagian dalam acara recurve berpasukan wanita pada Sukan SEA 2025 di Thailand, baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad memanah wanita negara melaungkan amaran enggan dibayangi kekalahan kepada Indonesia menjelang kejohanan utama tahun depan.

Kekalahan kepada skuad Indonesia buat kali ketiga berturut-turut pada aksi final Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini tetap diambil sebagai pengalaman berharga bagi menilai kekuatan pasukan dan aspek yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi kejohanan akan datang.

Atlet memanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi berkata, beliau bersama rakan sepasukannya tidak berdepan dengan kekecewaan sebaliknya mengambil kekalahan itu sebagai pendedahan.

“Walaupun tewas, mental kami tidak down kerana saingan memang kuat dan mereka (Indonesia) pasukan Olimpik.

“Dengan persiapan saat akhir tiga ke empat bulan bersama pasukan sekarang, kami sudah memberikan yang terbaik dan pingat perak pun kami hargai serta bersyukur dengan usaha yang ditunjukkan,” kata Ariana kepada Utusan Malaysia.

Selain Sukan SEA, skuad memanah recurve negara yang dibarisi Ariana, Syaqiera Mashayikh, Joey Tan dan Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini turut ditunjukkan jalan keluar pada Sukan Olimpik Paris 2024, serta di pentas final Piala Asia pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, Ariana menjelaskan perbezaan utama dengan Indonesia adalah pengalaman mereka bermain di pentas final yang lebih banyak, manakala skuad negara masih memerlukan peningkatan dari segi keserasian pasukan dan kekuatan mental.

Justeru, Ariana melihat kekalahan lama itu sebagai motivasi untuk memperkukuh persiapan individu dan pasukan, termasuk strategi dan adaptasi mental bagi menghadapi Sukan Asia 2026 serta proses kelayakan Olimpik Los Angeles 2028.

“Pengalaman mereka bermain di pentas final jauh lebih banyak dan ia memberi impak besar kepada prestasi ketika bertanding.

“Bagi saya, persiapan dari segi mental dan adaptasi dengan cuaca serta tekanan pentas final perlu diperbaiki supaya kami lebih bersedia untuk cabaran akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN